Monday, November 12, 2012

Tema of Sutera Dalam Lukisan



Novel Sutera Dalam Lukisan bertemakan kemasyarakatan iaitu pandangan masyarakat terhadap orang yang lemah daya pemikiran atau kurang berakal. Terdapat beberapa pandangan ahli masyarakat terhadap watak utama iaitu Bujei. Sebahagian ahli masyarakat yang menganggap Bujei bodoh. Oleh yang demikian, Bujei menjadi objek buli golongan masyarakat ini. Ia diwakili oleh Alias dan Harun. Alias menganggap Bujei bodoh dan telah mengambil kesempatan untuk membuli Bujei. Dia selalu memaksa Bujei membasahkan pakaian dan melumurkan badan dengan lumpur. Jika tidak, Alias akan memukul Bujei. Alias juga menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa memberikan upah yang dijanjikan. Demikian juga dengan Harun. Bujei takut untuk berjumpa dengan Harun kerana Harun biasa memukulnya. Namun Bujei sempat dipukul hingga pengsan.

Manakala sebahagian daripada ahli masyarakat yang lain hanya melihat kewujudan Bujei sebagai seorang yang kurang berakal.Mereka melayan Bujei sebagai seorang yang kurang berakal juga. Mereka diwakili oleh Mak Som, Sidang Saman serta isterinya Mak Lamah dan Same’ah. Mereka melayan Bujei seadanya dengan memberikan makan dan minum. Mereka tidak cuba menyelami apa yang ada dalam hati dan fikiran Bujei. Mereka hanya menasihati dan mengajar seperti yang dilakukan oleh Same’ah. Malah Same’ah tidak mahu Bujei rapat dengannya terutama setelah dia bertunang. Demikian juga dengan Mak Som dan Sidang Saman. Mereka hanya memberikan nasihat kepada Bujei sekadar yang diperlukan. Malah mereka turut sangsi apabila Adila ingin memulihkan Bujei.

Satu golongan masyarakat lagi amat memahami dan menyelami perasaan Bujei. Golongan ini diwakili oleh Adila. Sesuai dengan wataknya sebagai seorang yang berpelajaran, dia dapat berfikir dan menilai Bujei. Dia sedar bahawa Bujei tidak sebagaimana anggapan orang-orang kampung. Bujei adalah manusia biasa yang normal dan berhak hidup sebagai seorang yang normal. Oleh sebab itulah dia cuba mendekati dan menyelidik latar belakang Bujei. Adila dengan ikhlas mahu menolong Bujei memulihkan imej dan keyakinan dirinya. Dia mengadakan siri pertemuan dan bimbingan di rumah Sidang Saman. Akhirnya Bujei mendapat keyakinan dan hidup sebagaimana ahli masyarakat yang lain. Dia sudah boleh berdikari.