Antara persoalan yang diselitkan oleh penulis adalah persoalan keganasan rumahtangga. Persoalan ini penting kerana ia telah memberi kesan kepada ahli keluarga itu sendiri iaitu anak-anak. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Harun manakala mangsa keganasan tersebut ialah Fatimah, ibu Bujei. Fatimah telah kematian suami akibat kemalangan jalan raya. Dia membawa Bujei pulang ke kampung dan berkahwin dengan Harun. Perkahwinan itu membawa malang kepadanya apabila Harun menunjukkan sikapnya yang sebenar. Harun telah mengikis habis duit Fatimah. Fatimah telah didera oleh Harun. Kemuncak daripada penderaan ini, berlaku satu tragedi. Fatimah meninggal dunia apabila rumah mereka terbakar akibat perbuatan Harun. Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Bujei menyebabkan emosinya terganggu.
Selain daripada itu, novel ini juga menggarapkan persoalan gengsterisme atau budaya samseng dalam masyarakat. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Alias dan rakan-rakannya iaitu Sahak dan Sani. Alias yang diampu oleh rakan-rakannya bertindak samseng. Tindak-tanduknya menyebabkan penduduk kampung tidak menyenanginya. Dia selalu membuli Bujei dengan memaksa Bujei melumurkan badan dengan lumpur di sungai. Dia akan memukul Bujei jika Bujei enggan. Selain itu dia juga merosakkan kesucian gadis Kampung Batu bersama Sahak. Pemuda di kampung itu digambarkan takut kepada mereka. Alias juga telah memfitnah Adila. Dia telah menghantar surat layang kepada Adila mengatakan Adila dijangkiti AIDS. Perbuatan itu membuatkan Adila bersedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu.
Persoalan lain yang penting dalam novel Sutera Dalam Lukisan adalah persoalan penyelewengan harta anak yatim.Penyelewengan itu dilakukan oleh bapa tiri Bujei iaitu Harun. Setelah Fatimah meninggal, Harun telah menjualkan tanah pusaka ibu Bujei kepada Wak Senen dengan harga empat ribu ringgit. Walau bagaimanapun Wak Senen menyedari tindakannya salah. Dia telah mengusahakan tanah tesebut dan memberi ganjarannya kepada Bujei. Setelah menghilang beberapa lama, Harun datang kembali ke kampung itu. Dia telah memujuk Bujei agar menandatangani surat menyerahan kuasa tanah tersebut kepadanya. Dia ingin menjual tanah tesebut kepada pembeli lain dengan harga yang lebih tinggi. Dalam usaha untuk mendapatkan cap jari itu, Bujei dipukul oleh Harun hingga pengsan.
Pengarang juga mengungkapkan persoalan cinta dan kasih sayang pemuda dan seorang gadis. Kedatangan Adila ke kampung itu telah menarik hati dua orang pemuda iaitu Alias dan Bujei. Selain daripada tertarik kepada Adila, Alias cuba untuk mendapatkan Adila kerana dia ingin menang dalam persaingannya dengan Bujei. Dia cemburu apabila mendapat tahu Bujei semakin rapat dengan Adila dan Adila juga melayani Bujei dengan baik. Manakala Bujei tertarik kepada Adila kerana keikhlasan Adila dalam membimbing dan memberikan kesedaran kepadanya. Bujei telah membayangkan kehidupannya bersama Adila sedangkan pada masa itu Adila tidak mempunyai apa-apa perasaan kepada Bujei. Adila hanya mempunyai perasaan kasih sayang kepada Bujei setelah dia mengambil keputusan tekad memutuskan hubungan dengan Faizal. Adila berhasrat untuk menjadikan Bujei sebagai suaminya.
Watak Adila pula menggambarkan persoalan kekecewaan dalam percintaan. Walaupun dia telah bertunang dengan Faizal, namun dia sudah kecewa dan sudah tidak dapat lagi menerima Faizal dalam hidupnya. Kekecewaan itulah yang menyebabkan Adila lari dari kota dan datang ke rumah Same’ah dan bapa saudaranya Sidang Saman. Adilah mahu melarikan diri daripada Faizal. Dalam menghadapi keadaan itu, Adila tidak dapat pastikan sehingga bila dia akan tinggal di rumah Sidang Saman. Dia juga sanggup menorah getah semasa berada di rumah Sidang Saman.Faizal pernah datang ke rumah Sidang Saman untuk mencari dan memujuk Adila. Namun Adila telah menolak Faizal dalam hidupnya dia nekad untuk memutuskan hubungan mereka. Setelah berbuat demikian, hati Adila telah kosong menyebabkan sedikit demi sedikit telah tertarik dengan Bujei.
Jika diperhatikan kepada cara hidup Bujei, ia dapat menggambarkan persoalan cara hidup golongan yang lemah daya pemikirannya. Malah pada awal cerita, Bujei digambarkan sebagai seorang yang tidak normal. Dia menontong televisyen yang tidak ada gambarkan dan suara. Gambar dan suara itu hanyalah di dalam imaginasinya sahaja. Keadaan rumahnya juga tidak terjaga. Bujei digambarkan sebagai seorang yang lemah daya pemikirannya apabila dia membiarkan sahaja dirinya dibuli oleh Alias. Dia akan menurut arahan Alias supaya melumurkan lumpur pada muka dan badannya. Selain daripada itu, makan dan minumnya juga tidak menentu. Dia akan makan sekiranya ada orang yang memberikannya makan termasuklah Sidang Saman sekeluarga dan Mak Som. Jika tidak, dia akan memancing ikan di sungai dan memanggang ikan tersebut untuk dimakan.
Melalui watak Bujei juga pengarang telah mengungkapkan persoalan maruah diri yang perlu dipertahankan. Maruah diri Bujei telah dicalar oleh dua watak iaitu Harun yang merupakan bapa tirinya sendiri dan juga Alias. Bujei selalu didera oleh Harun. Lebih teruk lagi Harun ingin membolot tanah pusaka peninggalan ibu Bujei. Walaupun tanpa menunjukkan kesedaran yang nyata, Bujei telah mempertahankan maruah diri dan hartanya daripada dirampas oleh Harun. Bujei telah mengotorkan cap jarinya padasurat penurunan kuasa yang disediakan oleh Harun menyebabkan dia telah dipukul hingga pengsan. Semasa berhadapan dengan Alias, Bujei telah mendapat kesedaran daripada didikan Adila. Dia telah bangkit mempertahankan diri daripada terus dibuli oleh Alias semasa Alias datang ke rumahnya. Setelah Alias menghempaskan radianya, Bujei menumbuk dan menyerang alias dengan parang.
Melalui watak Alias pula, pembaca mendapat gambarkan tentang persoalan fitnah dan kesannya dalam masyarakat. Persoalan ini dapat dilihat pada tindakan Alias dalam hubungannya dengan Adila. Dia berminat kepada Adila sejak mula Adila datang ke kampung itu. Namun apabila Adila mula rapat dengan Bujei, Alias berasa cemburu. Sejak dari itu dia cuba bersaing dengan Bujei dalam memenangi hati Adila. Alias telah memfitnah Bujei dengan memberitahu Adila bahawa Bujei mempunyai penyakit kulit yang berjangkit. Malah Bujei dikatakan sebagai ‘maniac’ yang menyebabkan Adila berasa takut kepada Bujei. Namun setelah usaha itu tidak berjaya dan Adila semakin rapat dengan Bujei, Alias telah menabur fitnah terhadap Adila pula. Dia menulis surat laying dan menyebarkan kepada orang kampung bahawa Adila sudah tidak suci lagi, malah seorang penghidap AIDS. Fitnah itu telah menggugat hati Bujei. Adila pula menangis dan pulang keKuala Lumpur .
Watak Sidang Saman dalam novel ini pula menggambarkan persoalan tanggungjawab pemimpin dalam menyelesaikan sesuatu konflik yang berlaku dengan adil dan saksama. Sebagai pemimpim masyarakat Sidang Saman bertanggungjawab untuk menyelesaikan konflik antara Alias dengan Bujei. Pada peringkat awal Sidang Saman tidak mengambil berat konflik tersebut kerana dia juga menganggap Bujei sebagai seorang yang tidak normal. Dia seakan tidak mempedulikan tindakan Alias membuli Bujei. Malah semasa konflik Alias dengan Bujei sampai ke kemuncak apabila Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli, Sidang Saman masih mempercayai kata-kata Alias bahawa Bujei telah menyerangnya. Namun setelah mengetahui perkara yang sebenarnya, barulah Sidang Saman bertindak rasional an adil dengan meminta Alias membayar ganti rugi terhadap radio Bujei yang telah dihempaskan oleh Alias.